Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersedia untuk membuktikan di mahkamah dakwaannya bahawa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak mengambil langkah untuk menyelesaikan pelupusan hutang RM8.3 bilion untuk peneroka Felda.
Bagaimanapun, Muhyiddin mengulangi bahawa dia telah melaksanakan sepenuhnya penghapusan hutang peneroka Felda pada 2021, dengan menegaskan bahawa Anwar sengaja salah tafsir dan memutarbelitkan perkara itu untuk memfitnahnya.
- Turut baca : Tawar RM5 juta bunuh PM, polis buka kertas siasatan
Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 10 Okt lepas terhadap saman fitnah Muhyiddin, Anwar memetik justifikasi pembelaan (bersedia untuk membuktikan dakwaan di mahkamah) dan komen yang berpatutan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa apabila hapus kira hutang RM8.3 bilion diumumkan, tiada sebarang dana kerajaan atau dana kerajaan yang mencukupi sepadan diberikan untuk memastikan Felda dapat memenuhi obligasi-obligasi kewangan mereka.
“Pinjaman peneroka RM8.3 bilion kekal dalam buku-buku kewangan Felda dan tidak dihapus kira semasa pentadbiran kerajaan PN atau kerajaan BN-PN tetapi sebaliknya pada atau selepas pembentukan kerajaan perpaduan.
“Anwar pada atau pada sekitar Jun 2023 telah melaksanakan Perjanjian-Perjanjian Dana yang telah membolehkan peruntukan tahunan lebih kurang RM 1 bilion dana untuk disalurkan kepada dan/atau diterima oleh Felda selama 10 tahun untuk antara lain membolehkan pembayaran balik Sukuk/KP oleh Felda.
“Dana di atas telah membolehkan Felda untuk memenuhi obligasi-obligasi kewangan mereka. Ini adalah untuk manfaat peneroka-peneroka Felda dan telah pada dasarnya membiayai atau menyempurnakan hapus kira hutang RM8.3 bilion,” kata Anwar sebagai defendan dalam dokumen pembelaan yang dilihat oleh Malaysiakini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menetapkan saman fitnah itu selama 8 hari perbicaraan penuh tahun depan: iaitu dari 2 hingga 5 Dis dan 16 hingga 19 Dis.
Leave a Reply