“Muhiyddin belum boleh tidur lena…” 3 tuduhan terima wang haram dihadapi masih kekal

Rasa gembira Muhyiddin dan para penyokongnya atas keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri itu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa nampaknya tidak bertahan lama.

Ini berikutan Pejabat Peguam Negara dengan segera telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan tersebut petang semalam.

Maknanya, masih ada kemungkinan kes tersebut dibicarakan jika rayuan itu diterima di peringkat Mahkamah Rayuan.

Jadi, sabar dulu dan jangan terlalu awal untuk bergembira dengan mengaitkan keputusan Mahkamah Tinggi itu sebagai bukti pertuduhan yang dibuat adalah bermotifkan politik.

Hakikatnya, keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah bukti bahawa Perdana Menteri atau pihak eksekutif di Putrajaya tidak campurtangan sama sekali dalam urusan mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Pengerusi PN itu untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana berjumlah RM232.5 juta yang diterima Bersatu atas alasan pertuduhan itu tidak jelas dan melanggar keperluan Kanun Tatacara Jenayah.

Dengan itu, Muhyiddin telah dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan terhadapnya.

Selain rayuan telah difailkan, kepada yang mungkin terlupa, Mahiaddin juga masih lagi ada tiga kes mahkamah di bawah AMLA yang perlu dihadapinya.

Peguam Negara Idrus Harun berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu hanya membabitkan empat pertuduhan bagi kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 saja.

Tetapi, katanya, tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang dihadapi Mahiaddin masih lagi kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 September 2023 sebagaimana telah dijadulkan juga tidak berubah.

Di samping itu, menantunya yang dicari SPRM dan kini telah dimasukkan dalam notis merah pihak polis untuk ditangkap, turut merupakan satu lagi beban menunggu buat Muhyiddin.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata PDRM akan bekerjasama dengan SPRM dalam hal berkaitan.

“Sekiranya ada maklumat tambahan (notis merah interpol) saya akan memaklumkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Ertinya sekarang ini, jangankan nak tidur lena, nak senyum pun masih tidak semudah biasa untuk Muhyiddin ukirkan pada wajahnya dengan sesuka hati.

Masih banyak kemungkinan tak terduga bakal menerpa kehidupannya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*