MPV terbakar, warga emas maut, empat termasuk bayi berusia lima bulan kritikal

Warga emas maut, manakala empat termasuk bayi lima bulan yang dipercayai sekeluarga parah dalam nahas di KM12, Jalan Jerantut-Maran, berdekatan Sungai Salan.

Nahas melibatkan sebuah pelbagai guna (MPV) Proton Exora itu dikatakan gagal memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan lori lalu terbakar.

Akibat pertembungan berkenaan, mangsa berusia 83 tahun dilaporkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Jerantut Mazlan Hassan, berkata hasil siasatan mendapati kenderaan MPV yang dipandu suri rumah berusia 25 tahun bersama empat penumpang dipercayai sekeluarga beralamat di Felda Gelanggi Satu, Jerantut.

“Pemandu kenderaan MPV dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan di hadapannya menyebabkan bertembung dengan lori jenis Isuzu.

“Akibat kemalangan itu, MPV terbabit terbakar keseluruhannya selepas berlaku pelanggaran, semua mangsa dalam kenderaan itu berjaya dibawa keluar oleh orang awam,” katanya menurut Berita Harian.

Mazlan berkata, empat mangsa yang cedera parah termasuk bayi berusia lima bulan dirawat di Hospital Jerantut.

“Kemalangan disiasat mengikut bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. Mayat mangsa akan dibedah siasat,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*