MOU Kerajaan Perpaduan Malaysia, MP kerajaan wajib sokong Anwar, belanjawan

Perjanjian persefahaman kerajaan perpaduan yang dimeterai, mewajibkan semua ahli parlimen gabungan politik terlibat menyokong usul undi percaya kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan rang undang-undang perbekalan selama lima tahun.

Ia menuntut setiap parti dan pihak mengundi untuk menyokong Anwar selaku perdana menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan persekutuan.

Perjanjian itu juga menetapkan setiap parti dan pihak perlu bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman parti masing-masing, bagi memastikan sokongan parlimen untuk mengekalkan kerajaan semasa dalam sebarang undian.

“Setiap parti-parti dan pihak-pihak hendaklah memastikan bahawa setiap ahli parlimen mereka mengundi menurut klausa 4(a) di atas.

“Kegagalan, keengganan atau kecuaian dari berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab ahli Parlimen secara individu kepada parti itu, yang dianggap sebagai perletakkan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan,” petik perjanjian itu.

Ia juga menyebut sebuah Majlis Perundingan dan Timbang Tara yang dianggotai oleh wakil-wakil yang diperakukan oleh parti-parti utama iaitu PH, BN, GPS, GRS dan Warisan diwujudkan untuk memastikan segala terma-terma yang dipersetujui dilaksanakan dengan cermat dan teratur.

“Ini agar kerajaan perpaduan Malaysia dapat beroperasi dengan stabil dan berkesan, tanpa menjejaskan dasar, polisi dan orientasi parti-parti yang bersetuju untuk membentuk kerjasama ini.

“Sebarang perselisihan dan salah faham hendaklah diselesaikan secara harmoni melalui majlis ini,” kata perjanjian itu.

Perjanjian itu juga menyebut bahawa pembentukan jemaah menteri terdiri daripada dua puluh lapan orang menteri atau apa-apa jumlah yang dianggap praktikal dan berkesan.

“Portfolio jemaah menteri hendaklah diagihkan oleh perdana menteri setelah melalui perbincangan dengan ketua-ketua parti-parti lain.

“Pembahagian portfolio jemaah menteri dan pengerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas hendaklah berkadar dengan jumlah ahli parlimen setiap parti yang membentuk kerajaan,” petik perjanjian itu lagi.

MOU Kerajaan Perpaduan Malaysia, MP kerajaan wajib sokong Anwar, belanjawan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*