Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyerahkan notis kompaun kepada Mohamad Hasan hari ini selepas menteri luar itu tular kerana merokok di sebuah premis makan.
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, menyatakan kompaun berkenaan bakal disampaikan oleh pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Negeri Sembilan.
Menurut Dzulkefly, sebenarnya Mohamad sendiri yang minta KKM mengeluarkan kompaun berkenaan atas kesalahan yang dilakukannya.
“Dan beliau memberitahu saya, kompaun tersebut akan dibayar,” kata Dzulkelfly.
Semalam Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menarik perhatian ramai apabila tular gambar dia sedang duduk berbual di sebuah premis makan yang tidak didedahkan butirannya.
Bagaimanapun kejadian tersebut didakwa berlaku ketika Mohamad pulang melawat kawasannya di Negeri Sembilan.
Sebelum menjadi Ahli Parlimen Rembau, Mohamad merupakan Adun Rantau di dalam kawasan tersebut.
Mengulas mengenai gambar itu semalam, Dzulkefly menegaskan tiada sesiapa yang terlepas daripada undang-undang Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jika melanggar peraturan ditetapkan.
“Setelah Akta 852 berkuat kuasa pada 1 Okt yang lalu, saya berpegang kepada prinsip bahawa tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang,” katanya di X.
Baca juga :
Leave a Reply