Menteri bidas jurulatih sekolah tampar pemain

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas tindakan seorang jurulatih yang dirakam menampar pemainnya ketika perlawanan bola tampar.

“Ini salah,” tulisnya di Twitter susulan laporan The Vibes.

Klip video tular di media sosial menunjukkan jurulatih pasukan bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka itu menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 di Kota Tinggi, Johor.

Kejohanan itu berlangsung pada 14 hingga 16 Dis lalu.

Yeoh berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan mereka sedang mengumpul lebih banyak maklumat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, bekas menteri belia dan sukan, Ahmad Faizal Azumu berkata, jurulatih terbabit tidak perlu bertindak kasar.

Katanya, jika perkara sedemikian tidak diteliti, kejadian sama akan berulang.

“Ia akan meninggalkan kesan negatif ke atas kanak-kanak. Pendidikan, kesedaran dan pemantauan berkesan penting untuk memastikan sikap saling menghormati antara atlet, jurulatih dan pentadbir,” tulisnya di Twitter.

Beberapa pengikut Yeoh di Twitter turut membidas jurulatih itu, dengan ada yang menggesa lelaki berkenaan ditahan dan dipecat.

Pelawak Harith Iskander berkata, jika jurulatih anak perempuannya berbuat demikian, “beliau akan tahu maksud ‘tampar’ sebenarnya”.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*