Curi 54 tabung madrasah, suami isteri dipenjara 12 bulan

Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri dan bersubahat memiliki 54 tabung derma milik madrasah, sejak November lalu.

Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah kedua-dua tertuduh, Nuruddin Hasbullah Zainal, 33, dan isterinya, Syaidatul Nor Syahidra Firdaus, 35, sejurus lima pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh secara bersama-sama didapati memiliki 21 dan 33 tabung tabung derma pelbagai jenis dan gagal memberikan penjelasan yang memuaskan kepada pihak berkuasa bagaimana tabung itu diperoleh.

Tertuduh turut didapati bersubahat memiliki tabung derma Madrasah Darul Tolabah dan Huffaz Melaka yang disyaki merupakan harta curi tanpa alasan munasabah.

Kesemua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.10 pagi di dalam bilik sebuah rumah dan dalam bonet sebuah kereta jenis Perodua Bezza di Amber Cove Residence dan pada 4 Disember 2024.

Sementara itu, Nuruddin Hasbullah turut mengaku bersalah kerana memiliki harta curi tabung derma Madrasah Tahfiz Al-Quran Desa Darul Naim Kasih, Sungai Rambai di kedai menjual buah-buahan di Lorong Pandan dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.30 malam pada 11 November 2024.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*