Mengaku amang seksual pelajar berusia 14 tahun, pembantu guru tahfiz dipenjara 10 tahun, 30 sebatan

Seorang pembantu guru sebuah Madrasah Tahfiz di Mersing dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan 30 sebatan atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajarnya yang berusia 14 tahun pada tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Faizal Man, 45, mengaku bersalah, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hassan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, bapa tunggal itu didakwa melakukan perbuatan terbabit bagi maksud seksual ke atas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dua bulan itu.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik tidur dalam surau madrasah tahfiz berkenaan di Air Papan, Mersing bermula dari pertengahan Mei 2024 hingga 31 Oktober 2024.

Mengaku amang seksual pelajar berusia 14 tahun, pembantu guru tahfiz dipenjara 10 tahun, 30 sebatan

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat serta hukuman tambahan pemenjaraan maksimum lima tahun dan sebat minimum dua kali, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Ikhwaan Zulkifli dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman penjara dan sebatan yang paling rendah atas alasan tertuduh sudah mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa dan kos semua pihak.

“Tertuduh sudah sedar dan insaf serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi. Tertuduh ingin memohon maaf kepada mahkamah dan mangsa serta keluarga mangsa.

“Tertuduh seorang duda dan menanggung tiga anak berusia antara 11 hingga 16 tahun yang semuanya masih bersekolah. Tertuduh juga hanya berpendapatan RM1,600 sahaja sebulan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan individu.

“Hukuman adalah sebagai pengajaran dan tauladan kerana ini adalah satu kesalahan jenayah seksual membabitkan mangsa berusia 14 tahun dua bulan yang bersekolah di madrasah tahfiz,” ujarnya.

Baca juga :

Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*