Meleleh air mata aku dengar cerita suami, tapi….

Panjang sikit karangan hari ni. Semalam, pakcik berbaju Melayu coklat maroon yang menurutnya bernama Majid dan anaknya berbaju biru bernama Kamal, berjalan kaki di tepi lebuhraya Guthrie. Suami saya yang dalam perjalanan ke Shah Alam, berhenti untuk membantu.

Minyak motor habis, terpaksa menolak motor. Suami saya yang kebetulan membawa 4×4 semalam, angkat motor pakcik tu di belakang dan menghantar mereka ke stesen minyak berdekatan. Bayangkan, jumpa mereka di highway Guthrie dari Rawang, dan stesen minyak terdekat ialah di Shah Alam. Jauh tu nak tolak. Aduh, simpati, kesian.

Dalam kereta, mereka bersembang. Katanya, dia dari Tg Malim menziarah bapanya yang meninggal dunia, dalam perjalanan ke Jasin. Apabila ditanya, kalau nak ke Jasin, kenapa lalu Guthrie? Pakcik memberitahu yang mereka dalam perjalanan ke Klang, kerana ada pusat zakat yang memberi wang kecemasan. Aduh, simpati, kesian lagi.

Sampai di stesen minyak, suami turunkan motornya sambil dibantu beberapa kontraktor yang sedang membuat kerja pembaikan di stesen Petronas federal highway Shah Alam arah ke Klang.

Sebelum turun dari kereta, disebabkan suami rushing nak kejar urusan di bank, maka ditinggalkan pakcik tu di sana dengan wang tunai RM150. Pakcik mendoakan, “Terima kasih. Semoga murah rezeki”. Kontraktor yang bekerja pun mendoakan yang sama. “Terbaik, bang!” Kata mereka sebab semua yang menyaksikan pasti akan simpati dan kesian tengok pakcik tu.

Suami ceritakan pada aku sebelum kami tidur semalam. Meleleh air mata aku sebab simpati dan kesian nasib mereka. Tapi…

Hari ini, sekitar jam 11.40 am dalam perjalanan ke utara, di tepi highway PLUS selepas R&R Rawang, aku nampak seorang pakcik dengan anak lelaki sedang ditahan brader X50. Aku terus bersuara, “Macam sama dengan cerita abang semalam”. Suami yang sedang memandu menoleh terus menjawab, “Cilaka! Pakcik semalam!”. Suami rapatkan kereta ke tepi emergency lane dan undurkan kereta.

Brader X50 ni dah jadi mangsa baru. Kali ni, Mak dia pulak mati, nak balik ke Batang Kali. Bila ditanya mana duit RM150 semalam? Dia boleh minta no akaun nak transfer. Banyak pulak duit kau ye pakcik? Sempat pakcik simpan dalam bank lepas tu cari mangsa baru.

Brader X50 tu pun yang pada mulanya kata “takyah viral la bang”, pun dah tinggikan suara lepas tau dia pun kena tipu. Marah betul brader tu sebab pakcik menggunakan anak untuk raih simpati. Kesian anak itu, terkebil-kebil tak faham apa berlaku. Tak dapat dipastikan identiti sebenar pakcik ni, rakyat Malaysia ke Rohingya.

Punya Tuhan nak tunjuk, baru semalam suami tolong, hari ni dah dapat jawapan yang ditolong tu buat duit dengan simpati rakyat Malaysia. Baik hati kita dengan mudah diperguna.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*