Melaka tarik balik gelaran ‘Datuk’ CEO GISBH

Melaka mengumumkan menarik balik Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran ‘Datuk’ dianugerahkan kepada CEO Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali pada 25 Ogos lalu, berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Azhar Arshad, dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu diambil oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam selepas mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

“Sehubungan itu, nama Nasiruddin telah dikeluarkan daripada Senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka tahun 2024.

“Penarikan balik Darjah Kebesaran ini selaras dengan kuasa prerogatif Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka,” katanya.

Justeru, Azhar berkata Nasiruddin tidak dibenarkan mengguna pakai gelaran berkenaan dan dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh.

Pada 14 Okt lalu, Mufti Melaka Abdul Halim Tawil dilaporkan berkata Jawatankuasa Fatwa Melaka yang bermesyuarat pada 3 Okt, memfatwakan ajaran dan amalan dalam GISBH adalah sesat.

Beliau dipetik sebagai berkata ajaran dan amalan dalam GISBH ada ciri persamaan dengan elemen berkaitan ajaran Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994 dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (SRC) (difatwakan haram pada 2007).

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*