Mekanisme subsidi RON95 : Tidak tepat dakwa kerajaan bergantung cc kenderaan sahaja

Tidak tepat mendakwa kerajaan hanya mengguna pakai pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan berdasarkan cc kenderaan dalam menentukan mekanisme subsidi bersasar petrol RON95, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Katanya, sebaliknya data JPJ merupakan antara pangkalan data bersepadu yang digunakan, selain data Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan dan Khazanah Nasional.

Beliau berkata, himpunan semua data daripada semua agensi berkaitan perlu dibuat bagi pelaksanaan subsidi bersasar supaya menjangkau golongan sasar.

“Saya sudah nyatakan dengan jelas tempoh hari, data JPJ itu adalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95. Kita juga ada data Bank Negara, LHDN, Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain kajian dibuat universiti tempatan yang akan dirujuk.

“Jadi kita harus melihat kepada semua data berkenaan dan bukan hanya data JPJ sahaja diperlukan. Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan cc kenderaan sahaja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95,” lapor Berita Harian.

Sabtu lalu, Salahuddin dilaporkan memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Beliau dilaporkan berkata, itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi, minggu lalu.

Salahuddin dilaporkan berkata, pangkalan data JPJ digunakan untuk subsidi petrol RON95 kerana kerajaan boleh kenal pasti cc kenderaan golongan sasaran untuk subsidi petrol berkenaan.

Semalam, rata-rata pengguna dilaporkan tidak bersetuju dengan mekanisme kerajaan untuk memberi subsidi bersasar minyak RON95 berdasarkan kepada cc kenderaan.

Pengguna berpendapat, cc kenderaan tidak menggambarkan keadaan sebenar ekonomi pengguna, lebih-lebih lagi banyak kenderaan mewah kini tampil dengan cc lebih kecil seperti jenama Mercedes dan Honda.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*