MB Kelantan berdepan tindakan saman jika gagal tunai tuntutan

Tujuh hari untuk Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung selepas mendakwa dua ADUN Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) menolak perjuangan Islam.

Itu penegasan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dari PH dan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dari BN dalam sidang media semalam.

Kedua-dua ADUN terbabit akan mengambil tindakan memfailkan saman sivil di mahkamah sekiranya Nassuruddin gagal berbuat demikian.

Mohd Syahbuddin berkata kenyataan Pesuruhjaya Pas Kelantan itu adalah budaya takfiri yang boleh memecah-belahkan rakyat dan masyarakat negara ini.

“Kami tersinggung dengan pernyataan Menteri Besar ini yang saya anggap sebagai melampau dan ekstrem dan ia mewakili 10,742 rakyat Galas yang mengundi BN dan 9,691 rakyat Kota Lama mengundi PH,” katanya dalam sidang media bersama Dr Hafidzah hari ini.

Sebelum ini, Nassuruddin dalam satu rakaman video yang tular mendakwa kemenangan Pas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan 12 Ogos lalu adalah kemenangan perjuangan Islam.

Ketua Penerangan Pas Kelantan yang juga digelar Panglima Perang Pas negeri turut menyifatkan dua kerusi yang dimenangi PH-BN sebagai pihak yang ‘menentang perjuangan Islam.’

Sementara itu, Dr Hafidzah berkata kenyataan Nassuruddin itu tidak sepatutnya diungkapkan kerana Mohd Nassuruddin sebelum ini menyatakan mahu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini bertentangan dengan semangat federalisme, tidak menghormati langsung bahawa dalam negara demokrasi kita ada pilihan rakyat untuk memilih dan kita akan melaksanakan tanggungjawab sebagai penyemak dan imbang dalam Dewan, sedangkan peringkat tertinggi memandang serong kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, Syahbuddin dan Dr Hafidzah telah mengarahkan peguam untuk menghantar notis tuntutan maaf tersebut kepada Mohd Nassuruddin.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*