Mayat wanita dalam bagasi : Pembunuh rupanya pengantin baru, dijangka mengadakan majlis pada 5 Mei

PENEMUAN bagasi berisi mayat seorang wanita yang ditemui oleh seorang pekerja pembersihan di Jalan Kalimalang, Bekasi, Indonesia pada 25 April lalu menggemparkan rakyat negara berkenaan.

Dalam perkembangan terbaharu, polis mendedahkan pihaknya sudah berjaya menangkap suspek yang dikenali sebagai Ahmad Arif, pada Rabu lalu, iaitu enam hari selepas penemuan mayat berkenaan.

Menurut Ketua Polis Cikarang Barat, Pesuruhjaya Gurnald Patiran, suspek yang berusia 29 tahun diberkas di kampung halaman isterinya di Palembang.

“Dia sudah pun berkahwin pada 17 Mac lalu,” ujarnya sambil menambah, suspek dan isterinya dijangka mengadakan majlis pada 5 Mei ini.

Mengungkap kronologi kes berkenaan yang mendapat liputan meluas media, pada 24 April, suspek pada mulanya mengambil mangsa di pejabatnya sebelum dibawa ke hotel.

Kelibat suspek dan mangsa dikesan kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan.

Dalam rakaman pertama, suspek dilihat memasuki bilik hotel dan berjalan di hadapan mangsa.

Sementara dalam rakaman kedua, suspek keluar hotel sekitar pukul 6.39 petang pada hari yang sama. Suspek turut membawa bagasi hitam besar yang rupa-rupanya mengandungi mayat mangsa.

Suspek membuang mayat mangsa di dalam belukar di Jalan Kalimalang sebelum ditemui keesokannya (25 April) oleh seorang pekerja pembersihan.

Susulan penemuan mayat itu, polis menjalankan siasatan dan mengenal pasti mangsa sebagai Rini Mariany dan berusia 50 tahun.

Mangsa merupakan ibu kepada seorang anak dan dilaporkan tinggal berasingan dengan suaminya kerana sedang dalam proses penceraian.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*