Mayat terbakar ditemukan terlentang, kaki diikat dawai

Satu mayat lelaki ditemukan dalam keadaan terbakar dipercayai akibat bunuh diri di tepi lombong D’sland Puchong, pagi tadi.

Lebih menyayat hati, mayat itu ditemukan dalam keadaan terlentang dengan pergelangan kaki diikat dengan dawai.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mayat itu ditemukan oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi polis.

Beliau berkata, ketika ditemukan, mayat itu berada dalam keadaan terbakar seluruh badan berhampiran Sungai Rasau dan lebih kurang 10 meter dari jalan utama Puchong – Cyberjaya.

“Hasil siasatan polis pada peringkat ini percaya ia adalah kes bunuh diri di mana mangsa membakar dirinya sendiri.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan sehingga punca kematian diketahui selepas proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Katanya, beliau juga menggesa orang ramai menghubungi balai polis terdekat jika mempunyai maklumat mengenai kejadian itu bagi membantu siasatan.

Wan Kamarul Azran berkata, beliau juga mengingatkan orang awam supaya tidak berkongsi maklumat tidak tepat mengenai kejadian itu sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*