Mayat remaja OKU tersangkut sisa pelepah kelapa sawit, ibu masih hilang

Mayat remaja lelaki orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran yang dihanyutkan arus deras bersama ibunya di Kampung Tanjung Kanan, di sini pada pagi tadi dijumpai di kawasan banjir kira-kira pukul 5.25 petang semalam.

Mayat mangsa, Muhammad Rosman Rohadi, 19, ditemui pasukan penyelamat di dasar air dan dalam keadaan tersangkut pada sisa pelepah kelapa sawit.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 150 meter dari tempat dia dihanyutkan arus deras.

“Operasi mencari seorang lagi mangsa, Salmah Mat Zain, 46, yang merupakan ibu kepada remaja terbabit kini giat dijalankan di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Kata beliau, operasi sedang giat dijalankan oleh anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Terdahulu, sepasang selipar dan sebelah selipar disyaki milik dua beranak itu ditemui kira-kira pukul 3 petang tadi, tidak jauh dari tempat mangsa dikhuatiri hilang.

Susulan penemuan itu, pasukan penyelamat memfokuskan pencarian di kawasan tersebut.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan dua beranak iaitu Salmah dan Muhammad Rosman hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan kira-kira pukul 8.15 pagi semalam.

Mereka dikatakan keluar untuk membeli nasi lemak dan pulang ke rumah dengan meredah laluan ditenggelami banjir akibat limpahan sungai berikutan hujan lebat, malam tadi.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*