NGAWI, JAWA TIMUR – Misteri bungkusan besar yang diletakkan di tempat pembuangan sampah (TPS) akhirnya terbongkar.
Penemuan beg merah berisi mayat seorang wanita tanpa kepala dan kaki oleh seorang penduduk dikenali sebagai Yusuf, 40, warga Desa Macanan, Kecamatan Jogorogo, Kabupaten Ngawi, Jawa Timur di Indonesia pada Khamis lalu.
“Pada mulanya saya berasa curiga. Alangkah terkejutnya saya selepas melihat mayat wanita dalam keadaan bogel dibungkus cadar.
“Saya terus melaporkan kejadian itu kepada ketua kampung,” katanya.
Siasatan awal pihak berkuasa berjaya mengenal pasti identiti mangsa berdasarkan ciri fizikal, aksesori dan cap jari sebagai Uswatun Khasanah, 29, berasal dari Keluarahan Bence, Kecamatan Garum, Kabupaten Blitar.
“Kami masih menjejaki bahagian kepala dan kakinya serta memburu pelaku,” ujar jurucakap polis.
Pada Sabtu, bapanya, Hendi Suprapto merayu supaya pihak berkuasa segera memberkas suspek dan mengheretnya ke muka pengadilan.
“Saya sangat sedih kerana anak saya dibunuh kejam dan tubuhnya dikerat-kerat.
“Saya tidak tahu jika dia ada musuh atau tidak,” katanya yang mengesahkan mayat tidak lengkap itu sudah dihantar pulang ke rumah keluarganya di Desa Sidodadi.
Sementara itu, laporan autopsi mendapati kematian janda dua anak itu akibat asfiksia (sukar bernafas kerana kekurangan oksigen) berkemungkinan dicekik atau lehernya dipenggal pembunuhnya.
Tubuhnya dikerat-kerat kepada beberapa bahagian dan pelaku juga melakukan tindakan kekerasan ke atasnya berdasarkan kesan luka.
Kali terakhir Uswatun dilihat di rumahnya di Kecamatan Garum, Kabupaten Blitar adalah pada 17 Januari dan tidak dapat dihubungi sejak 20 Januari lalu.
Baca juga :
Tiada pihak pukul suami datang minta maaf, tetap teruskan saman, kata isteri lelaki OKU
Leave a Reply