Mayat di kubur besar Gaza tunjuk tanda diseksa, ditanam hidup-hidup

Kubur besar yang ditemui di dua hospital di Semenanjung Gaza mengandungi 392 mayat, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas dengan tanda-tanda berlaku penyeksaan dan hukuman mati.

Pada hari keenam berturut-turut kerja-kerja menggali mayat di selatan Gaza, Pertahanan Awam Palestin mendedahkan kubur besar itu terletak di sekitar hospital Nasser dan al-Shifa.

Menurutnya, 10 daripada mayat itu ditemui dengan tangan terikat manakala yang lain masih mempunyai tiub perubatan yang dipasang – menunjukkan mereka mungkin telah ditanam hidup-hidup.

“Kami memerlukan pemeriksaan forensik untuk kira-kira 20 mayat untuk orang yang kami fikir telah ditanam hidup-hidup,” kata pegawai Pertahanan Awam Palestin Mohammed Mughier.

Ketua Jabatan Ppertahanan Awam di selatan Khan Younis tempat letaknya Hospital Nasser berkata, tiga kubur besar berasingan ditemui di kemudahan itu – satu di belakang bilik mayat, satu di hadapan bilik mayat, dan satu berhampiran bangunan dialisis.

Yamen Abu Sulaiman menambah, hanya 65 mayat telah dikenal pasti oleh saudara-mara 392 yang ditemui akibat penguraian, pencacatan dan penyeksaan, atau kesulitan lain, sambil menambah mayat “disusun bersama” dan menunjukkan tanda-tanda hukuman mati di lapangan telah berlaku.

Pada sidang akhbar di selatan Rafah pada hari Khamis, Abu Sulaiman menyeru masyarakat antarabangsa untuk memberikan tekanan untuk “menamatkan segera pencerobohan ini terhadap rakyat Palestin”, serta agar organisasi kemanusiaan dan media antarabangsa dibenarkan masuk ke Gaza untuk memeriksa jenayah yang berlaku.

Mughier menegaskan, penemuan ini membuktikan askar Israel melakukan “jenayah terhadap kemanusiaan”.

Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Volker Turk, menggesa “penyiasatan bebas, berkesan dan telus” terhadap kematian itu.

“Hospital berhak mendapat perlindungan yang sangat istimewa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan pembunuhan dengan sengaja orang awam, tahanan dan lain-lain yang menjadi hors de combat adalah jenayah perang,” kata Turk.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Mejar Nadav Shoshani mendakwa kubur di Hospital Nasser “digali oleh penduduk Gaza beberapa bulan lalu”.

Tentera Israel juga telah mengesahkan menggali mayat dari kubur, tetapi untuk mencari tawanan yang masih ditahan di Gaza.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*