Mangsa gempa tidur dengan mayat. Beberapa penduduk yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi gempa bumi di Cianjur di Jawa Barat terpaksa tidur bersama jenazah di khemah sementara akibat masalah pengangkutan yang berlaku di kawasan itu sejak beberapa hari lalu.
Lapor Kompas.com, khemah itu bukan sahaja dihuni mangsa yang terselamat, malah 11 mayat penduduk yang maut turut ditempatkan sementara di lokasi sama.
Salah seorang mangsa dikenali sebagai Rosidah berkata, perkara itu terpaksa dilakukan kerana van jenazah mengalami kesukaran untuk ke tanah perkuburan berikutan laluan masuk ditutup oleh serpihan bangunan dan tanah runtuh.
“Kerana ramai anak-anak kecil yang trauma, kami memutuskan untuk menempatkan jenazah di bahagian belakang khemah sementara penduduk di bahagian depan,” katanya.
Jelas Rosidah, penduduk akhirnya memutuskan untuk membantu mengebumikan jenazah itu namun terpaksa memandikan jenazah menggunakan air parit yang keruh kerana tiada sumber air lain yang boleh digunakan.
“Jika tidak dikebumikan segera jenazah itu bagaimana? Kasihan anak-anak trauma melihatnya. Menunggu bantuan, tak tahu bila akan sampai,” ujarnya lagi.
Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda pulau Jawa Isnin lalu itu kini meningkat kepada 310 orang selepas penyelamat menemukan lebih banyak mayat di bawah serpihan bangunan dan tanah runtuh.
Sekurang-kurangnya 24 orang masih hilang dan lebih 1,400 penyelamat dikerah menjejak mangsa di bawah runtuhan gempa bumi berukuran 5.6 magnitud yang turut mencederakan lebih 2,000 orang.
Agensi bencana berkata, gempa bumi itu merosakkan sekurang-kurangnya 56,000 buah rumah dan menyebabkan sekurang-kurangnya 36,000 orang kehilangan tempat tinggal dengan beratus-ratus kemudahan awam musnah, termasuk 363 buah sekolah.
Turut baca :
Leave a Reply