Malaysia terima pelaburan RM170 bilion dari China, tertinggi dalam sejarah

Malaysia meraih pulangan pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia sekali gus menunjukkan keyakinan China, khususnya pelabur dari negara itu, terhadap ekonomi Malaysia.

Beliau mengumumkan demikian selepas berakhir Forum Perniagaan Malaysia-China 2023, di sini, hari ini.

Malaysia terima pelaburan RM170 bilion dari China, tertinggi dalam sejarah
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023

Anwar tiba di China pada Rabu lalu untuk lawatan rasmi empat hari dengan mengetuai delegasi yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Jadual Perdana Menteri cukup padat yang antara lain menyaksikan Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping, di Dewan Besar Rakyat, Beijing, semalam. Ia adalah pertemuan empat mata pertama dan bersejarah antara kedua-dua pemimpin itu yang mengadakan mesyuarat selama hampir sejam.

Selesai berjumpa Jinping, Anwar bersama delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Zhao Leji, juga di Dewan Besar Rakyat.

Di Beijing, Anwar turut menyempurnakan majlis iftar Perdana Menteri bersama delegasi perniagaan dan pemimpin Muslim China. Kira-kira 300 ahli perniagaan dari Malaysia dan China hadir pada majlis itu.

Sebelum itu pada hari pertama ketibaan, Anwar meluangkan masa beramah mesra serta berbuka puasa bersama wakil komuniti Islam setempat dan delegasi Malaysia yang menyertai Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023) di Hainan.

Pada majlis berkenaan, Anwar turut mengimamkan solat maghrib dan menunaikan solat sunat tarawih di Hotel Boao Golden Coast.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*