Malaysia kutuk serangan di Turki, minta rakyat Malaysia waspada

Malaysia kutuk serangan di Turki, minta rakyat Malaysia waspada. Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas ibu pejabat syarikat aeroangkasa dan pertahanan Turki, Turkish Aerospace Industries (TAI) yang terletak di Kahramankazan, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan pada Rabu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Malaysia mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan berkenaan.

“Semua rakyat Malaysia di Turki dinasihatkan untuk kekal tenang, waspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan,” menurut Wisma Putra.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara melalui +(90) 312 44635 47/48 semasa waktu pejabat atau +(90) 507 8128406 selepas waktu pejabat.

Mereka juga boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul di +(90) 212 98910 01/09 semasa waktu pejabat atau +(90) 531 7160551 selepas waktu pejabat.

Sebagai alternatif, pertanyaan boleh dihantar melalui e-mel kepada mwankara@kln.gov.my untuk Kedutaan Malaysia di Ankara atau mwistanbul@kln.gov.my untuk Konsulat Jeneral di Istanbul.

Menurut laporan Agensi Anadolu, dua pengganas yang menyerang kemudahan TAI “ditewaskan” manakala lima orang terbunuh dan 22 cedera, kata seorang pegawai tertinggi tempatan pada petang Rabu.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengutuk serangan pengganas itu, dengan berkata: “Saya mengutuk serangan keji ini ke atas kemudahan The Turkish Aerospace Industries.”

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*