Malaysia ambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN

Malaysia mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025 daripada Laos.

Menerusi ucapan ketika simbolik penyerahan tugas Pengerusi ASEAN di Vientiane, Laos, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia memilih tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ mencerminkan komitmen dalam mencapai kemajuan yang dikongsi bersama tanpa ada yang tertinggal.

“Ia mempamerkan harapan kami bahawa langkah yang diambil hari ini, akan bertahan lama dalam jangka masa panjang.

“Ini juga menggariskan keazaman untuk memastikan masa depan yang kukuh sepanjang kita bergerak ke hadapan. Pada setiap masa, tindakan dan keputusan kita akan berpandukan kepada prinsip muafakat.

“Untuk itu, bersama-sama kita berikan komitmen untuk membina rantau yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan,” katanya hari ini.

Simbolik penyerahan tugas kepada Malaysia dibuat Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone kepada Anwar pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, masa depan ASEAN harus melibatkan Timor-Leste, yang kemasukannya akan mengembangkan ekonomi rantau kita dan menyumbang untuk memenuhi visi besar ASEAN.

“Sambil mengukuhkan rantau ini secara dalaman, kita akan terus meneroka dan meluaskan perkongsian ekonomi di luar sempadan

“Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China pada 2025 akan mencapai matlamat ini,” ujarnya.

Tegas Perdana Menteri, ASEAN tidak akan berputus asa dalam menjaga Asia Tenggara sebagai wilayah yang aman, stabil dan makmur.

Untuk rekod, ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepnjang keanggotaan dalam blok serantau bermula tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*