Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis, Rabu lalu.
Tertuduh, Goh Weng Keong, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa mengaibkan kehormatan Koperal Nik Muhammad Faizal Nik Long, 40, dengan menyebut perkataan kesat dengan maksud supaya perkataan itu didengar dan mengganggu kesantunan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan perhentian bas Jalan Thean Teik, Ayer Itam, kira-kira pukul 6.45 petang, 2 Oktober lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding, Darrshini menawarkan jaminan sebanyak RM9,000 berserta syarat tambahan agar tertuduh tidak menganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menentapkan tarikh 14 November depan sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan penahanan suspek di sebuah rumah di Taman Paya Terubong, Ayer Itam di sini semalam selepas disyaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis trafik.
Sebelum itu, tular satu klip video berdurasi 3 minit 28 saat yang memaparkan seorang penunggang motosikal sedang memarahi seorang pegawai polis trafik dengan menggunakan kata kesat di aplikasi WhatsApp sejak semalam.
Turut baca :
Leave a Reply