KAHWIN muda bukan penyelesaian terbaik bagi mengelak generasi muda terjerumus ke kancah maksiat.
Seorang wanita berkongsi kisah sedih yang dilalui ibu muda yang berkahwin pada usia 15 tahun dan kini terpaksa membesarkan anak sendirian.
“Nak sangat kahwin asalkan halal, tapi akhirnya menganiaya. Kenapa dia kahwin cepat sangat? Sebab mak dia cakap kalau asyik dating je, lebih baik kahwin.
“Jadi mak dan mak mentua suruh kahwin sebab tak nak orang kampung cakap belakang,” wanita itu memulakan cerita.
Tambahnya lagi, remaja berkenaan kini membesarkan anaknya dengan wang hasil menjual aiskrim.
“Laki dia mana? Laki dia sambung belajar di politeknik. Duit belanja tak diberi, duit bil tak diberi. Keluarga mentua tak nak campur.
“Keluarga sendiri anggap dah lepas tanggungjawab, jadi pandai-pandailah hidup. Baru 17 tahun budak tu, tak ada SPM, nak kerja cashier pun tak lepas,” katanya.
Wanita itu berkata dia mengenali remaja itu yang datang ke klinik tempat dia bekerja secara senyap-senyap untuk mengambil kotak polistirena.
“Aku kenal ramai ibu muda di kawasan aku. Aku bagi je, ajar dia cara simpan aiskrim. Umur 17 tahun masih tak boleh buka akaun bank, tak boleh guna QR.
“Tapi Alhamdulillah ada telefon boleh guna untuk pindah duit. Jual aiskrim di kawasan sekolah. Sehari dapat jual lebih 100 batang,” katanya.
Jelas wanita itu remaja berkenaan bernasib baik kerana dibenarkan meletakkan stok aiskrim di peti sejuk rumah rakan yang bersimpati dengan nasib dirinya.
Tambahnya, ketika remaja itu keluar berniaga, anak berusia hampir dua tahun turut dibawa bersama.
“Bilik di rumah mentua memang cuma ada dapur kecil. Setiap hari beli ikan seekor atau ayam dua ketul, terus goreng. Nasi masak sendiri. Sedih, kan?
“Makan kongsi dengan anak. Mentua minta sebulan RM50 untuk duit bil api dan air. Suami memang tak menyumbang langsung. Nak tolong, tapi dia cuma nak baju anak je.
“Mak kawan tengah ajar dia jahit baju, buat kuih, dan masak roti jala serta lempeng keras untuk masa depan,” katanya.
Wanita itu memaklumkan wakil rakyat di kawasannya ada menawarkan rumah sewa murah tetapi hanya sehingga si suami habis belajar, dijangka sekitar September ini.
“Baru 17 tahun, tak ada kawan berbual, tak habis SPM. Berusaha sendiri atas ihsan seorang ibu angkat (mak kawan dia). Kali terakhir jumpa, dia cakap nak minta cerai.
“Sebab suami cuma balik untuk tuntut nafkah batin, lepas tu tinggal gitu je, balik politeknik. Sebulan dua kali macam tu. Selain dari itu, memang lepak dengan geng kampung,” katanya.
Jelas wanita itu, jika dia bertemu dengan golongan bawah umur yang mahu mendirikan rumah tangga kerana mahu segera menghalalkan hubungan, dia akan menasihati mereka terlebih dahulu bagi mengelak kejadian serupa.
Baca juga :
Leave a Reply