Majlis nikah tanpa bakal pengantin, Adam kongsi kisah sebenar

Pemuda yang mendapat perhatian di TikTok susulan video perkongsian mengenai pernikahannya dibatalkan saat akhir tampil menjelaskan perkara itu yang didakwa berpunca kerana pihak ketiga.

Difahamkan, keputusan untuk ‘menarik diri’ daripada pihak berkenaan dimaklumkan kepada pihak lelaki itu kira-kira sebulan sebelum majlis pernikahan yang berlangsung pada 27 September lalu.

Dalam perkongsiannya lelaki dikenali sebagai Adam di penstriman langsung di TikTok mendakwa perkara itu juga sudah diketahui, namun dia memilih untuk menerima (memaafkan) dan meneruskan majlis itu.

Bagaimanapun Adam enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menganggap mereka sudah tiada jodoh serta memaklumkan tujuannya membuat penstriman langsung itu untuk menjelaskan perkara berkenaan.

Katanya, ia juga bagi menjawab persoalan ramai yang bertanya mengenai majlis yang berlangsung tiada bakal pengantin perempuan, namun mengakui ia bukan untuk tujuan sebarang pemasaran.

“Video pertama dimuat naik hanya untuk berkongsi sebab ada kawan yang tidak dapat datang, (mahu) kongsi vibe, suasana. Tiada yang lain, tiada niat nak buat ‘drama’ ke cerita ke.

“Ini bukan marketing (pemasaran) lagu baru, bukan marketing apa-apa pun,” katanya.

Bagaimanapun, Adam berkata, dia tidak akan mendedahkan sebarang maklumat mengenai wanita berkenaan termasuk akaun media sosial dan namanya serta meminta semua netizen memahaminya.

Sementara itu, ibunya berkata, keputusan untuk tetap meneruskan majlis itu adalah untuk dia berdepan dengan situasi berkenaan selain jemputannya seramai lebih 900 juga sudah dihantar sebelum majlis berlangsung.

Bagaimanapun katanya, untuk tindakan selanjutnya (berkaitan undang-undang) biarlah perkara itu dibincangkan antara keluarganya sahaja.

“Dalam live (bersiaran langsung) ini tak apalah, tak perlulah kita tanya kenapa terjadi macam ini kerana live ini bukan bertujuan untuk memalukan atau mengaibkan sesiapa.

“Anak saya pun ada buat salah, begitu juga di sana. Kita ini tak sempurna jadi benda (perkara) itu sudah lepas, kita sudah lepas dah fasa yang sakit,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai majlis pernikahan yang bertukar menjadi doa selamat kerana bakal pengantin perempuan didakwa membatalkan pernikahan di saat akhir.

Beberapa video berkaitan perkara itu yang dikongsikan di akaun TikTok lelaki itu meraih jutaan tontonan dan pelbagai reaksi netizen yang turut bersimpati selain memberi sokongan kepada pihak lelaki serta keluarganya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*