MAINPP nafi tuduhan liar Ustaz Zainul Asri ‘masjid jadi tokong’

Tular sebelum ini video seorang ustaz yang dikenalpasti sebagai Ustaz Zainul Asri menyatakan dalam kuliahnya sebuah masjid telah bertukar menjadi tokong di Pulau Pinang.

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menafikan tuduhan yang dibuat ustaz berkenaan dalam video yang telah tersebar di TikTok.

Antara kenyataan yang dibuat Ustaz Zainul adalah cerita kononnya sebuah masjid telah ditinggalkan oleh India Muslim kini sudah bertukar menjadi tokong.

“Satu masjid di Pulau Pinang tu, dulu masjid hari ni jadi jadi tokong. Dulu milik India muslim. Depa (mereka) balik ke India, depa tinggai, macam mana jadi saya pun tak tau.

“Hari ini dah jadi tempat ibadat orang bukan Islam”, kata Ustaz Zainul dalam video yang tersebar.

Menurut MAINPP, merujuk kepada Interim Register lot yang dimaksudkan, terdapat dua puluh (20) pemegang amanah asal bagi Kong Hock Keong Temple.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk IR. Ahamd Zakiyuddin Abdul Rahman memaklumkan Ini adalah melalui Perintah Mahkamah (Peletakan Hak) Jilid 2, Fol. 61 pada 28 Disember 1973.

Seterusnya berlaku pertukaran pemegang amanah disebabkan kematian. Lot 523 ini adalah terbitan daripada Lot 71 (2) TS. 19, Daerah Timur Laut dan lot tanah ini berstatus 1st grade.

“Pada asalnya (rujukan Deed Poll bertarikh 10 Julai 1888), tanah ini telah dimiliki oleh pemegang amanah berkenaan bagi Kong Hock Keong Temple No. 30 Pitt Street melalui Grant: No. 2420 tahun 1838.

“Iaitu pemberian daripada “The Public Seal of the Colony” oleh Gabernor dan Komander Negeri-Negeri Selat iaitu Cecil C. Smith,” ujarnya.

Justeru, MAINPP menafikan tuduhan tidak berasas ini, kerana ia dilihat mampu menimbulkan salah tanggap masyarakat dan menimbulkan perbalahan di antara kaum dan agama di negeri majmuk ini.

MAINPP menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Ustaz Zainul Asri, untuk menjernihkan persepsi negatif yang mula tersebar di kalangan umat Islam Pulau Pinang.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*