Mahkamah tolak rayuan, Ustaz Dusuki terbukti fitnah Tabung Haji jual aset pada bukan Islam

Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini, menolak rayuan saman fitnah bekas anggota jawatankuasa ulama PAS Pusat Ahmad Dusuki Abd Rani terhadap Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Roslan Abu Bakar yang turut memerintahkan Dusuki membayar kos RM10,000.

Keputusan itu juga sekali gus mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 30 Ogos tahun lalu selepas saman RM1 juta dikemukakan Ahmad Dusuki berhubung satu video yang dimuatnaik Hazmi menuntut permohonan maaf kerana pemimpin PAS itu didakwa memfitnah aset Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam ketika PH memerintah negara.

Peguam Faiz Fadzil berkata, mahkamah mendapati bahawa video Hazmi tersebut bukan satu fitnah kerana terbukti aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.

“Sementara itu, hakim juga mendapati bahawa kenyataan Ahmad Dusuki itu boleh memberikan kesan negatif kepada umat Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Hazmi atau Jeming (tiga dari kiri) menang saman fitnah ke atas pendakwah, Ahmad Dusuki bersama peguamnya, Faiz (tiga dari kanan)

 

“Oleh itu, Hakim mendapati bahawa pembelaan ‘common law’ yang dibangkitkan Hazmi termasuk komen berpatutan (fair comment) dan perlindungan bersyarat (qualified privilege) telah dibuktikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Dusuki yang juga penceramah bebas diwakili peguam Mohd Jamil Yaacob, manakala Hazmi atau lebih dikenali sebagai Jeming diwakili Faiz.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*