Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, daripada tuduhan
gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.
Harta berkenaan termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Hakim Azura Alwi membuat perintah itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Mahkamah dengan ini memerintahkan Allahyarham Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan.
“Mahkamah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga beliau ditempatkan di kalangan solihin,” katanya.
Seksyen 254 antara lain menyatakan, dalam mana-mana peringkat perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa Raya jika berpendapat patut, boleh memberitahu mahkamah yang ia tidak akan mendakwa tertuduh dan semua prosiding hendaklah diberhentikan serta tertuduh hendaklah dibebaskan daripada pertuduhan.
Sementara Seksyen 254(3) pula menyatakan pelepasan daripada pertuduhan yang seumpama itu tidak dianggap sebagai pembebasan kecuali jika mahkamah mengarahkan demikian.
Di awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa pihaknya tidak meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Daim susulan kematiannya.
“Kami dengan ini berdasarkan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, tidak berniat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia.
“Bagaimanapun, kami menerima surat semalam daripada pihak pembelaan yang menyatakan bantahan mereka terhadap hasrat kami untuk tidak meneruskan kes ini.
“Saya percaya ini adalah tidak berperlembagaan kerana kuasa untuk menarik balik atau meneruskan sebarang prosiding terletak pada budi bicara pendakwaan.” katanya.
Bagaimanapun, peguam Allahyarham Daim, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mengesahkan surat berkenaan yang menyatakan hasrat pihaknya untuk meneruskan kes.
Peguam itu berkata, ia kerana Allahyarham sebelum kematiannya menzahirkan keinginan yang tinggi supaya ia diteruskan ke penghujungnya.
Gurdial berkata, beliau menerima arahan supaya kes itu diteruskan kerana ia adalah hasrat terakhir Allahyarham ketika terbaring sakit, untuk membersihkan namanya daripada apa yang dianggapnya sebagai pertuduhan tidak berasas atas apa jua sebab yang tidak dapat dijelaskan.
“Permintaan kami dan arahan diterima ialah kes ini mesti diteruskan… pihak pendakwaan perlu menjelaskan kes mereka dan kami sebagai pembelaan, mesti mematahkan kes itu melalui pemeriksaan balas dan saksi kami.
“Oleh itu, pendirian kami ialah perbicaraan perlu diteruskan setakat yang mungkin tanpa tertuduh. Tuduhan ini tidak sepatutnya dibiarkan tergantung di atas anak guam saya dan beliau harus diberi pembebasan penuh kerana tidak lagi berada dalam kedudukan untuk membebaskan dirinya.
Bila ada pertuduhan, mesti ada orang dikaitkan dengannya
“Beliau adalah seorang yang terkenal dan dikenali umum serta mempunyai pengalaman dan kerjaya panjang dan cemerlang dalam perkhidmatan awam bagi kerajaan ketika itu. Oleh yang demikian, pertuduhan terhadapnya tidak boleh dibiarkan tergantung begitu sahaja,” katanya.
Wan Shaharuddin pula yang membalas hujahan itu, berkata prosiding tidak boleh diteruskan kerana tertuduh telah meninggal dunia.
“Bila ada pertuduhan, mesti ada orang yang dikaitkan dengannya, tetapi sekarang individu itu sudah tiada di sini.
“Katakanlah kita meneruskan perbicaraan dan di akhir kes pendakwaan, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri… bagaimana kita boleh meneruskan (kes).
“Saya difahamkan keluarga mahu membersihkan nama Allahyarham Tun Daim, tetapi ini yang kita panggil takdir,” katanya.
Baca juga :
- DSAT Group bakal saman MB Kedah RM1 bilion
- Penyanyi “Bey Sobar Bey” ditahan di penjara Narathiwat mungkin bebas bulan depan
- 2 petugas sekolah maut kereta bertembung lori
Gurdial kemudian berkata, jika pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes, anak guamnya mesti dibebaskan sepenuhnya daripada semua kesalahan.
Pada 29 Januari lalu, Allahyarham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Na’imah pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Leave a Reply