Mahkamah batal kemenangan PAS di Parlimen Kuala Terengganu

Kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, menurut Bernama.

Kerusi itu dimenangi PAS dengan majoriti 40,907 undi.

Pada PRU15, Amzad menumpaskan tiga calon lain, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada Pakatan Harapan yang meraih 10,946 undi; Mohd Zuber Embong Barisan Nasional (22,109 undi); dan Mohamad Abu Bakar Muda daripada Pejuang (481 undi).

Pada 3 Jan, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Umno Terengganu, Ahmad Said, berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia, dan i-Siswa.

Awal hari ini, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatal dan menolak petisyen yang mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang.

Susulan keputusan itu, Presiden PAS Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang.

Hakim Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas mendapati pempestiyen yang juga calon BN, Jasmira Othman, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah. Jasmira diarahkan membayar kos RM50,000 kepada Hadi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*