Mahkamah arah Wan Azri padam kandungan ‘fitnah’ KPN di media sosial

Mahkamah Tinggi memberi perintah interim kepada Ketua Polis Negara, Razarudin Husain bagi memaksa penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris memadam beberapa catatan media sosial didakwa berunsur fitnah.

Peguam S Raam Kumar berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong mengeluarkan perintah ex-parte yang kekal sah selama 21 hari.

“Hakim turut menetapkan 10 Jan depan untuk pendengaran antara pihak,” katanya.

Dalam perbicaraan itu, mahkamah akan menentukan sama ada perintah itu perlu dilanjutkan sehingga pelupusan saman berkenaan, yang boleh dibantah Azri atau peguamnya.

Minggu lalu, Razarudin memfailkan saman terhadap Azri, bekas exco Pemuda Umno berhubung kenyataan dalam video dimuat naik ke YouTube dan TikTok serta turut dikongsi di pelbagai platform media sosial lain.

Razarudin mendakwa beliau digambarkan dalam video itu dengan istilah menghina dan dikaitkan secara palsu dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan serta injunksi untuk menghalang Azri membuat atau menerbitkan semula kenyataan itu, sama ada sendiri atau melalui individu ada kaitan dengannya.

Razarudin juga mahu Azri memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah daripada semua akaun media sosial serta media massa dan dalam talian, di mana saja ia telah disiarkan.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*