STATUS janda atau ibu tunggal bukan lagi asbab buat seseorang wanita berasa rendah diri untuk bersaing dalam bidang pekerjaan mereka.
Malah, beberapa selebriti yang gagal dalam kehidupan rumah tangga kini menjadi inspirasi kepada wanita lain, terutama yang mengalami nasib serupa untuk bangkit semula mengejar cita-cita.
Minggu ini HibGlam menyenaraikan lima selebriti yang semakin laris selepas bergelar janda atau ibu tunggal.
Status janda langsung tidak menjejaskan nilai komersial dan rezeki pelakon berdarah kacukan, Melayu-Inggeris, Siti Saleha dalam dunia seni.
Kekal dengan imej eksklusif, Saleha masih laku membawakan watak-watak utama drama dan wajah kempen jenama antarabangsa.
Tidak menunggu lama, pemilik nama Siti Saleha Mohd Baharum ini juga sudah mengumumkan dirinya kini sedang mengenali hati budi seorang pereka fesyen bernama Joshua Fitton.
Terbuka, namun tidak berkongsi banyak tentang hubungan mereka, pelakon 7 Hari Mencintaiku itu hanya meminta peminat mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Saleha mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017. Pasangan itu mengejutkan ramai pihak apabila membuat keputusan bercerai pada 17 Januari 2022.
Puteri Sarah
Pelakon cantik Puteri Sarah Liyana yang baru sahaja bercerai talak satu dengan pengarah popular Syamsul Yusof membuktikan perceraian bukan penamat kehidupan.
Berusia 38 tahun, ibu kepada dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5, itu kembali mendapat sokongan dan simpati dengan nasibnya yang berhadapan krisis rumah tangga.
Selepas bercerai pada 13 Jun lalu, Sarah aktif menerima banyak tawaran lakonan sehingga ke Indonesia. Dia juga dikatakan semakin cantik dan bergaya selepas bergelar ibu tunggal.
Siti Nordiana
Penyanyi Siti Nordiana kembali mendapat perhatian selepas menjuarai program realiti televisyen Gegar Vaganza musim kedua pada 2015.
Kemunculan semulanya dalam bidang nyanyian ternyata mendapat sokongan luar biasa peminat yang lama merindui suaranya.
Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berehat daripada dunia seni selepas berkahwin dengan pelakon, Allahyarham Faizal Yusup pada 2006.
Jodoh mereka tidak panjang dan bercerai pada 2009.
Mereka dikurniakan seorang anak, Muhammad Rayyan Nakhaie, 15.
Shila Amzah
Penyanyi Shila Amzah tidak menjadikan kegagalan rumah tangga yang dibina bersama Haris Idraki Elias selama empat tahun menjadi batu penghalang untuk meneruskan kehidupan.
Mengakui fasa yang dilalui cukup pedih untuk dikenang, Shila mengabadikan episod hitam itu dalam sebuah lagu ciptaannya Jauh Hati.
Tidak menoleh ke belakang, namanya kembali meledak selepas dia menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-36 bersama kumpulan SOG menerusi lagu Pelukan Angkasa.
Ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini meneruskan kebangkitannya dengan berjuang dalam program Gegar Vaganza musim ke sembilan (GV9).
Tidak berlama-lama bersedih, Shila kini mengakui sudah menemui pengganti dan bertunang personaliti media sosial, Ubai.
Erra Fazira
Biarpun berstatus ibu tunggal pada usia yang mencecah 43 tahun, jelitawan tinggi lampai Erra Fazira layak membawa gelaran ‘janda’ meletup.
Kecantikan yang bagaikan tidak luntur dengan penampilan sentiasa segar menjadikan Primadona Filem Melayu ini masih mampu bersaing dengan mana-mana pelakon baharu.
Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu masih menjadi pilihan pengarah-pengarah drama dan jenama produk.
Kegagalan rumah tangga yang dilalui sebanyak dua kali tidak menjejaskan aktiviti seni dan nilai eksklusif dirinya sebagai selebriti popular.
Untuk rekod, Erra pernah berkahwin dengan pelakon dan pengarah Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun berpisah pada 2006. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007, namun bercerai pada 2014.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya yang kini berusia 14 tahun.
Leave a Reply