Lelaki warga asing ditemui mati dengan 10 tikaman

Lelaki warga Bangladesh ditemui maut dengan 10 kesan tikaman pada anggota badannya di Central Island Park di sini hari semalam.

Mangsa berusia 30-an itu ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah sebelum dimaklumkan kepada pihak polis pukul 9.20 pagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan bergegas ke lokasi sebaik menerima laporkan tersebut.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan lelaki yang lengkap berpakaian itu meninggal di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 10 kesan tikaman pada anggota badan mangsa. Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat pengenalan diri mangsa ditemui di lokasi.

“Selain pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, pihak forensik dan unit anjing pengesan (K9) turut ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan,” katanya.

Tambah Kok Chin, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat dan usaha memburu suspek yang terlibat giat dijalankan berdasarkan hasil siasatan serta risikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi mana-mana balai terdekat,” kata beliau.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*