Lelaki perdaya wanita, tuntut bayar RM3.5 juta untuk bebaskan anaknya di Penjara Kajang dicekup

Seorang lelaki diberkas disyaki memperdaya seorang wanita membayar RM3.5 juta kononnya untuk membebaskan anaknya yang ditahan di Penjara Kajang.

Timbalan Ketua Polis Johor M Kumar, berkata suspek berusia 35 tahun itu ditangkap di sekitar Bandaraya Johor Bahru, pada 16 Jun oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Johor dengan dibantu JSJ Bukit Aman.

Katanya, mangsa mengenali suspek pada Mac 2020 dan menawarkan membantu membebaskan anak perempuannya kerana ditahan kesalahan bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), sejak 2019.

“Suspek menyatakan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes bagi membebaskan anak pengadu dan menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin dengan syarat pengadu memberikan sejumlah wang.

“Percaya dengan kata-kata suspek, antara Mac 2020 hingga Jun 2023, pengadu telah menyerahkan wang tunai secara berperingkat kepada suspek sehingga RM3.5 juta,” katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati anaknya masih tidak dibebaskan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut kesalahan tipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*