Lelaki mengamuk atas bumbung rumah selepas tumbuk isteri, marah anak

Polis menahan seorang lelaki yang mengamuk dan membawa parang serta pisau di atas bumbung rumah sewanya di Tanjung Keling, Melaka semalam.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata, dalam kejadian di sebuah rumah di Bukit Tempayan pada kira-kira 11.30 pagi itu, suspek berusia 37 tahun itu turut menumbuk bahagian mata isterinya serta memarahi anak-anaknya.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memujuk lelaki itu turun, termasuk oleh anak-anaknya, tetapi tidak diendahkan suspek, malah dia terus merapu-rapu di atas bumbung.

“Suspek tetap enggan memberi kerjasama walaupun usaha memujuk turut dilakukan oleh anggota bomba, selain bertindak agresif dengan memaki hamun anggota polis yang cuba memujuknya,” menurutnya malam tadi.

Christopher berkata, berlaku pergelutan antara anggota polis dengan suspek yang agresif ketika cuba ditangkap, menyebabkan beberapa keping atap jenis asbestos pecah.

Suspek akhirnya berjaya digari sebelum dibawa turun dengan bantuan anggota bomba pada kira-kira 1.40 tengah hari, lapor Bernama.

Berdasarkan keterangan isterinya, lelaki tersebut ialah seorang pesakit mental dan telah beberapa kali mendapat rawatan psikiatri di Hospital Melaka, kata Christopher.

Lelaki itu juga dikatakan telah lama enggan makan ubat yang dibekalkan oleh hospital.

Christopher berkata, pasangan itu telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai tiga anak berusia antara 10 hingga 13 tahun. Keluarga tersebut sudah menyewa di rumah itu lebih lima tahun lalu.

Suspek dihantar ke Hospital Melaka kerana cedera di kening dan beberapa bahagian badan akibat pergelutan itu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*