Lelaki khalwat disebat selepas solat Jumaat pada 27 Dis di Masjid Al-Muktafi Billah Shah

Lelaki melakukan kesalahan khalwat berulang akan disebat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, pada 27 Dis selepas selesai solat Jumaat, kata Exco Terengganu.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata ia susulan Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu, pada 11 Dis.

Katanya, pelaksanaan hukuman sebat itu sepatutnya dilaksanakan 6 Dis, namun ditangguhkan susulan permohonan semakan difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Dis.

Katanya, mahkamah turut mengekalkan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda sebagaimana keputusan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail pada 20 Nov.

“Hukuman sebatan ke atas pesalah khalwat berulang kekal dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu sebagaimana keputusan terdahulu,” katanya dalam kenyataan.

“Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.”

Beliau menegaskan bahawa hukuman sebatan dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.

“Pelaksanaan hukuman sebatan takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah,” katanya.

Pada 20 Nov lalu, tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam sebatan di khalayak di sebuah masjid kerana kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*