Seorang lelaki yang bertindak mengelar leher dan menikam perutnya sendiri dalam satu kejadian di Taman Suria, di sini, dipercayai mengalami masalah psikiatrik.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 32 tahun itu bertindak demikian pada pukul 10.53 malam, Khamis lalu.
Menurut beliau, dia kini berada dalam keadaan tidak stabil dan masih mendapatkan rawatan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
“Polis terima laporan berhubung kejadian itu pada hari dan waktu kejadian berlaku. Polis dapati lelaki warga tempatan itu cuba membunuh diri dengan menikam perut dan mengelar lehernya menggunakan pisau.
“Hasil siasatan polis dan pemeriksaan doktor di HSA yang merawat lelaki itu mengesyaki kejadian berlaku kerana dia dalam keadaan tidak stabil dan mengalami masalah psikiatrik,” katanya.
Sementara itu, Raub memberitahu, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian yang tular dalam satu rakaman video berdurasi 52 saat yang tular di media sosial, semalam.
Menurut beliau, video itu memaparkan tindakan seorang lelaki didakwa cuba membunuh diri di hadapan sebuah restoran di Taman Suria, di sini.
Berdasarkan video berkenaan, lelaki itu dapat dilihat menarik keluar ususnya dalam keadaan yang lemah dan sudah terbaring di tepi jalan.
Leave a Reply