SELEPAS lima tahun menjalani kehidupan di ibu kota, Hanif memutuskan untuk pulang ke kampung halamannya di Felda Jengka, Pahang.
Menurut cerita jejaka berusia 28 tahun itu, dia terpaksa meninggalkan pekerjaannya sebagai pekerja retail (sektor peruncitan) di sebuah pusat beli belah untuk menjaga ibunya di kampung.
Ketika di kampung, seperti penduduk lain Hanif akan membuang sampah di sebuah tapak pembuangan yang terletak agak jauh dari kawasan rumahnya.
Tanpa Hanif sedari, ada sebuah cerita seram sering dibualkan penduduk kampung tentang seorang lelaki yang diganggu makhluk tanpa kepala ketika membuang sampah.
Pada suatu malam suram, Hanif tiba di tapak pembuangan sampah yang dimaksudkan dengan kereta pikapnya.
Kegelapan menyelubungi kawasan itu dan kesunyian pada malam berkenaan membuatkan suasananya agak menyeramkan.
Tanpa berlengah, dia keluar dari kereta dan mula mengangkat beg sampah ke tempat pembuangan.
Sementara dia sedang sibuk menguruskan sampah, dia merasakan sesuatu yang aneh seolah-olah diperhatikan seseorang.
Tiba-tiba Hanif terdengar bunyi desiran lembut dalam kegelapan malam namun dia tetap meneruskan tugasannya.
Setelah selesai, secara tidak sengaja anak matanya terpandang ke arah satu entiti hitam yang berada tidak jauh daripadanya.
Jantung Hanif berdegup kencang, dengan satu gerakan pantas dia segera menghalakan lampu suluh ke arah entiti tersebut.
Apa yang dilihat membuatkan Hanif terkejut kerana di hadapannya berdiri satu entiti tanpa kepala.
Entiti itu tidak bergerak sebaliknya hanya berdiri di situ dengan tangan yang terikat dalam keadaan lemah.
Hanif yang ketakutan segera berpatah balik ke keretanya, namun setiap kali dia cuba bergerak entiti tersebut seolah-olah mendekatinya dengan perlahan.
Akhirnya Hanif berjaya sampai ke kenderaannya dan segera melompat masuk lalu memecut keluar dari tapak pembuangan sampai itu.
Sejak malam itu, Hanif tidak pernah lagi membuang sampah di tapak sampah berkenaan pada waktu malam.
Pada keesokan hari dia menceritakan pengalaman itu kepada ibunya dan wanita itu mengakui bahawa cerita tentang hantu tanpa kepala memang benar-benar wujud.
Kononnya, ia adalah roh seorang lelaki warga asing yang mati dibunuh dalam keadaan tragis di tapak pembuangan sampah sama.
Dipercayai ia merayau-rayau mencari seseorang untuk mendapatkan bantuan bagi menuntut pembelaan.
Bagaimanapun tiada siapa dapat pastikan secara tepat tentang kesahihan cerita penduduk kampung, namun kisah mengenai entiti tanpa kepala itu terus berlegar-legar hingga ke beberapa generasi.
Turut baca :
Leave a Reply