Seorang lelaki Yemen yang sebelum ini menjadi perhatian ramai kerana mempunyai ketumbuhan seperti tanduk pada sisi dahinya, meninggal dunia pada usia dipercayai 140 tahun, lapor akhbar The Sun semalam.
Ali Anter yang dipercayai lelaki paling tua di Yemen digelar ‘lelaki bertanduk dua’ selepas mempunyai dua tanduk yang tumbuh pada kedua-dua sisi dahinya selepas dia berusia 100 tahun.
Ketika salah satu daripadanya semakin besar, ia mula melengkung menyerupai tanduk kambing, manakala ketika dia meninggal dunia, tanduk tersebut dikatakan tumbuh sehingga ke paras mulutnya.
Menurut laporan, Ali meninggal dunia tiga hari selepas satu rakaman video menunjukkan seorang individu tidak terlatih cuba memotong tanduk tersebut menggunakan alat yang panas.
Seorang ahli keluarga memaklumkan bahawa lelaki itu meninggal dunia disebabkan kesihatan fizikal dan mentalnya merosot akibat sakit tua.
Namun, ada dalam kalangan saudaranya mendakwa bahawa Ali sebenarnya meninggal dunia disebabkan prosedur pemotongan ketumbuhan itu yang telah mempercepatkan kematiannya.
Media tempatan melaporkan Ali berada dalam keadaan sihat dan mempunyai ingatan yang baik sehingga sekitar 2017 apabila keadaannya mula merosot.
Ketumbuhan yang muncul pada dahi Ali berkemungkinan merupakan sejenis tumor kulit yang terhasil daripada keratin, iaitu protein sama yang membentuk rambut dan kuku.
Ia timbul daripada lebihan kulit yang teruk serta sering berlaku dalam kalangan pesakit lebih berusia dan individu berkulit cerah.
Leave a Reply