Lelaki berputih mata, labur RM87,479, hanya untung RM421

Seorang lelaki berputih mata apabila wang simpanan sebanyak RM87,479 ‘lebur’ selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang disertainya selepas menerima pautan WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa berusia 52 tahun itu menerima pautan tersebut daripada sebuah syarikat pada 12 Ogos lalu.

Katanya, mangsa menerima mesej daripada seorang individu bernama ‘Mandy’ yang merupakan wakil syarikat ‘Boci Club Members’.

“Pelaburan itu melibatkan pembelian saham yang menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 80 peratus. Disebabkan tertarik, mangsa melakukan dua transaksi berjumlah RM87,900 ke dua akaun berbeza pada 13 September dan 15 Oktober.

“Sepanjang membuat pelaburan tersebut, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM421 sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Balveer, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila ‘Mandy’ memintanya membuat pelaburan tambahan sebanyak RM15,000 bagi pengeluaran wang keuntungan yang dijanjikan.

“Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kita juga akan siasat sama ada pembabitan keldai akaun,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atau pekerjaan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa yang singkat.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*