Gara-gara terpengaruh dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan mencecah sembilan peratus sepantas tiga hari, seorang penyelia tapak pembinaan kehilangan simpanan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sebanyak RM118,800.
Lelaki berusia 39 tahun hanya menyedari tertipu apabila tidak dapat mengeluarkan ‘keuntungan’ pelaburannya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 10.46 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa yang menetap di Manir di sini tertarik dengan tawaran pelaburan saham yang dilihatnya di aplikasi kumpulan WhatsApp pada pukul 7.55 malam, 21 April lalu.
“Skim pelaburan saham yang didakwa didagangkan menerusi aplikasi dagangan saham berpengkalan di Hong Kong tersebut menawarkan keuntungan antara lima hingga sembilan peratus dalam tempoh selewat-lewatnya lima hari dengan hanya bermodalkan RM5,000.
“Keuntungan kononnya dijanjikan akan dilunaskan dalam bentuk mata wang Ringgit dan Yuan (China),” katanya.
Azli berkata, mangsa yang tertarik kemudiannya telah menghubungi salah seorang pengendali skim pelaburan tersebut.
Tambah beliau, lelaki itu kemudiannya menandatangani perjanjian dengan penaung aplikasi dagangan tersebut secara dalam talian sebelum mempelajari teknik berdagang saham dengan seorang mentor maya selama beberapa bulan.
“Mangsa kemudiannya mula membuat pelaburan awal RM5,000 sebelum meningkatkannya sehingga mencecah RM118,800.
“Mangsa mula menyedari tertipu apabila gagal mengeluarkan RM2,000 yang merupakan sebahagian keuntungan diperolehinya sebalik diminta membayar RM 424,298.08 sebagai caj pengeluaran,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply