Mayat seorang wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki yang ditemukan dalam tong sampah di Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada Disember tahun lalu disahkan milik seorang guru dikenali sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33.
Ketua Polis Alor Gajah Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan ujian DNA yang dilakukan terhadap ibu mangsa pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan Istiqomah, lapor Sinar Harian.
uru di sebuah sekolah di Pasir Gudang, Johor itu dilaporkan hilang sejak 27 Dis tahun lalu selepas keluar bekerja.
Ashari berkata susulan perkembangan itu dan hasil risikan yang dijalankan polis, pihaknya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak.
Siasatan yang dijalankan ke atas kedua-dua individu tersebut membawa penemuan sebahagian anggota badan termasuk tulang jari dan bahagian kepala kira-kira 6km dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan, katanya.
Katanya, mangsa yang mempunyai tiga orang anak itu dipercayai mengenali suspek lelaki tersebut dan terlibat dengan urusan pelaburan manakala suspek wanita tidak mengenali mangsa.
Kedua-dua individu yang ditahan dibenarkan reman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu dan pihak polis akan mohon sambung reman hari ini terhadap suspek lelaki yang ditahan, katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Alor Gajah di talian 06-5562222.
FMT pada 6 Jan lalu melaporkan, mayat seorang wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki ditemukan dalam tong sampah di Pulau Sebang, Alor Gajah.
Mangsa dipercayai dibunuh sebelum disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di tepi jalan Alor-Gajah-Tampin berhampiran Kampung Rimau.
Turut baca :
Leave a Reply