Laku kelucahan melampau terhadap remaja, PU Azman dipenjara 14 bulan

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di Klang menghukum pendakwah selebriti Azman Syah Alias penjara 14 bulan kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki dua tahun lepas.

Tertuduh yang juga dikenali sebagai PU Azman, 43, membuat pengakuan bersalah atas tuduhan itu di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid selepas representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara diterima bagi menukar pengakuan tidak bersalah sebelum ini.

Representasi yang dikemukakan Azman pada Oktober lepas diterima Jabatan Peguam Negara pada awal November.

Azman didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja berusia 18 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek pada 10 Jun 2022.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun jika sabit kesalahan, lapor Bernama.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi dan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli manakala Azman diwakili peguam Fahmi Adilah.

Fahmi yang memohon hukuman ringan bagi anak guamnya memaklumkan, Azman mengaku bersalah kerana insaf dan menyesali perbuatannya.

Menurutnya, tertuduh juga berjanji kepada mahkamah untuk menjadi seorang warganegara yang baik dan berguna.

“Anak guam saya juga memohon maaf kepada pengadu (mangsa) yang terlibat dan kerajaan Malaysia, khususnya polis serta mahkamah yang mulia ini kerana mengambil masa ketika perbicaraan berlangsung (sebelum representasi diterima Jabatan Peguam Negara),” katanya.

Rasyidah sebaliknya menegaskan, sebagai seorang pendakwah selebriti, perkara itu tidak sepatutnya dilakukan terhadap pengadu yang ketika itu berusia 18 tahun.

Tambahnya, pengakuan bersalah bukan faktor yang patut diambil kira oleh mahkamah untuk memberikan ‘diskaun’ hukuman.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga terhadap masyarakat sejagat secara amnya,” katanya.

Sebelum ini, Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua tuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun pada 27 Sept lepas.

TAGS: PU Azman, kelucahan melampau, Mahkamah Majistret Klang, hukuman penjara, representasi, Jabatan Peguam Negeri, mengaku bersalah, pendakwah selebriti.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*