Laki bini perangai serupa je… Sepasang suami isteri pecah rumah ditahan

SEPASANG suami isteri ditahan polis selepas dipercayai terlibat dengan 13 kejadian pecah rumah di sekitar Arau dan Kangar, Perlis sejak tahun lalu.

Dua lelaki turut ditahan terbabit dalam aktiviti jenayah yang membabitkan nilai kerugian berjumlah lebih RM30,000 itu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsein Md Rodi berkata, semua suspek ditahan pada 8 Februari lalu.

Menurutnya, kesemua suspek dipercayai turut terbabit melarikan enam kipas siling selepas memecah masuk Dewan Orang Ramai di Kampung Alor Ara Barat di daerah itu, akhir tahun lalu.

“Tangkapan dibuat selepas pihak kami melakukan intipan dan pemantauan lebih satu minggu ke atas suami isteri yang berusia 26 dan 23 tahun,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Susulan penahanan itu, Ahmad Mohsin berkata, pihaknya turut memberkas dua lagi suspek lelaki warga tempatan masing-masing berusia 28 dan 23 tahun yang dipercayai terlibat sama dalam kegiatan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes pecah rumah berkenaan seperti dua tong gas, mesin rumput, dua pam air, sebilah pisau, satu set spanar, enam kipas siling dan kereta.

Ahmad Mohsin berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek utama kes itu didapati positif dadah jenis methaphetamine.

Katanya, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menyasarkan rumah secara rawak di samping melihat peluang yang ada bagi melakukan kegiatan tersebut.

“Selain pecah rumah, suspek juga dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan di dewan orang ramai memandangkan mereka sentiasa melihat peluang yang ada,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457, 506 dan 448 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan pecah rumah, ugutan jenayah dan ceroboh rumah.

Baca juga :

Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*