Lagi kes terjun Jambatan Pulau Pinang

Seorang wanita dipercayai warga emas dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, dari pulau menghala ke Perai di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia dalam lingkungan 60-an telah meninggalkan sebuah kereta jenis Proton Persona di tepi tembok jambatan berkenaan dan dilihat duduk di tebing sebelum jatuh ke bawah.

Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 3.16 pagi tadi dan operasi menyelamatkan membabitkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai.

“Identiti mangsa yang berbangsa Cina itu belum dikenal pasti termasuk status terkininya. Mangsa ada meninggalkan dokumen peribadi di dalam kereta.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat telah dilaksanakan oleh pasukan bomba dan dibantu pihak polis dan syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel),” katanya di sini, sebentar tadi.

Untuk rekod, ini merupakan kejadian ketiga selepas dua kes terjun jambatan sama direkodkan berlaku minggu lalu membabitkan mangsa remaja perempuan dan pemuda yang masing-masing berusia 15 dan 26 tahun. Bagaimanapun, dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa ditemui selamat.

Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemuru­ngan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*