Lagi guru buat hal, raba pelajar, datang rumah ajak kahwin ditahan

Seorang lagi guru direman selama lima hari, bermula hari ini selepas disyaki telah meraba seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah dekat sini, Mac lalu.

Perintah reman sehingga 23 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Mazana Sinin terhadap suspek berusia 35 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap warna jingga tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi anggota polis.

Difahamkan, tindakan suspek terbongkar selepas pelajar terbabit membuat laporan polis mendakwa guru berkenaan telah memegang tangannya sebelum bertindak meraba tubuh badannya ketika berada di dalam bilik seni kira-kira pukul 2 petang.

Selepas kejadian itu, suspek yang merupakan duda anak seorang dikatakan telah muncul di rumah keluarga mangsa dan menyatakan hasrat ingin berkahwin dengan pelajar tersebut sejurus dia tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan suspek kira-kira pukul 2.45 petang semalam.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*