Ahli parlimen PN untuk Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim secara rasmi mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Keputusan saya ini adalah bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk parlimen saya terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang saya mohon untuk dilaksanakan di parlimen saya dalam tempoh penggal perkhidmatan saya,” kata pada satu kenyataan di Facebook.
Mohd Azizi yang juga Adun Nenggiri berkata dia menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Sejujurnya, saya tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati parti Bersatu.
“Tetapi demi memastikan parlimen saya Gua Musang seiring dengan pemerintahan persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama di dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketuai YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelas Mohd Azizi yang merupakan ketua Bersatu Gua Musang.
“Buat masyarakat Gua Musang yang sangat saya kasihi, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah sentiasa memberkati bumi bertuah ini (Gua Musang) dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimana diharapkan,” katanya lagi.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Labuan Dr Suhaili Abdul Rahman, menyatakan sokongannya kepada Anwar sebagai perdana menteri.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid seperti Suhaili, menyuarakan sokongan terhadap Anwar sebagai perdana menteri, dengan menyorot kos sara hidup yang semakin meningkat di kawasannya.
Sokongan ketiga-tiga ahli parlimen PN ini memberikan kerajaan pimpinan Anwar majoriti dua pertiga.
Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu telah menggantung keanggotaan Suhaili dan Iskandar Dzulkarnain.
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mengesahkan Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keanggotaan Suhaili dan Iskandar Dzulkarnain.
Leave a Reply