Label Hamas pengganas, The Rock dikritik pengguna alam maya

Tindakan bintang terkenal Hollywood, Dwayne Douglas Johnson atau The Rock melabel kumpulan bersenjata Palestin yang menentang Israel sebagai pengganas mengundang kritikan pengguna alam maya.

Ia susulan luahan The Rock bahawa dia berang dan kecewa disebabkan perang terbaru Israel-Palestin.

“Saya patah hati, marah, dan muak dengan pembunuhan kejam dan penculikan orang Yahudi melalui tindakan ngeri kumpulan pengganas Hamas.

“Kehilangan nyawa warga Israel dan Palestin yang tidak berdosa semakin menyayat hati apabila perang ini semakin memuncak,” ujarnya.

Bagaimanapun, The Rock, 51, mengakui luahannya itu dibuat tanpa mengetahui kisah konflik Israel-Palestin secara terperinci dan menyeluruh.

Apa yang diketahuinya adalah, tindakan keganasan seperti yang sedang berlaku ketika ini adalah tidak wajar.

“Saya tak berpura-pura yang saya mengetahui segala-galanya mengenai konflik di Timur Tengah itu kerana ia memerlukan pemahaman mendalam dari sudut konteks dan nuansa,” katanya.

Sejak 7 Oktober lalu, Hamas melancarkan Operasi Banjir al-Aqsa, serangan mengejut besar-besaran terhadap Israel.

Kementerian Kesihatan Palestin hari ini memaklumkan angka kematian di Gaza meningkat hampir 1,000 dalam serangan yang memasuki hari keempat.

Memetik laporan CNN, kementerian itu berkata kira-kira 950 orang terbunuh, manakala 5,000 lagi cedera dalam serangan ke atas Gaza.

Angkatan Pertahanan Israel pula berkata sekurang-kurangnya 1,200 orang maut di Israel, sejak Sabtu lalu.

The Rock menegaskan, dia sekeras-kerasnya mengutuk dan mengecam keganasan yang sedang berlaku.

“Saya mengutuk dan mengecam keganasan, dan pada saat yang dahsyat ini, saya ucapkan takziah kepada semua mangsa dan keluarga yang tak bersalah yang berduka atas kehilangan orang tersayang mereka.

“Saya berdoa memohon belas kasihan dan penyelesaian. Saya berdoa untuk semua nyawa yang tak bersalah,” katanya.

Sebagai respons kepada kata-kata The Rock, seorang pengguna meminta pelakon itu membuat perbandingan situasi berlaku sejak sekian lama ke atas rakyat Palestin.

“Jika kamu menggelarkan Hamas pengganas, bagaimana pula apabila Israel bunuh begitu ramai rakyat Palestin? Kereta kebal lawan manusia, kereta kebal lawan kanak-kanak?

“Jadi kenapa bukan ini yang kamu kongsikan apabila situasi itu berlaku,” soalnya.

Pada masa sama, turut mengundang rasa kecewa dalam kalangan segelintir peminat adalah ada yang menyatakan hasrat mereka untuk memboikot pelakon itu.

“Serius, aku kecewa dengan kau Rock. Sorry lah, tak nak support kau dah,” kata seorang pengguna media sosial.

Pelakon Sharnaaz Ahmad juga tidak ketinggalan meluahkan perasaan malah dia turut mengecam mentaliti The Rock yang dianggap tidak setanding dengan bentuk badannya yang besar itu.

“Hei botak. Berapa banyak kau cucuk testeron pun tetap bahlul, buta,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*