Kurung anak sulung Asaari, 4 lelaki diburu

Empat lelaki didakwa mengurung anak bekas pemimpin al-Arqam, Ummu Attiyah, sedang dikesan susulan laporan polis dibuat anak sulung Asaari Muhammad itu, selepas dirinya dipaksa kahwin dengan seorang pemimpin Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata pengadu berusia 41 tahun juga membuat laporan polis dipaksa kahwin di Turki, sebelum dibawa pulang ke negara ini lalu dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar, Perak.

Beliau berkata, pengadu menyatakan di perkampungan berkenaan dihuni ramai remaja dan dewasa dalam lingkungan 13 tahun dan ke atas.

“Dia mendakwa dikurung dalam sebuah bilik rumah setingkat kira-kira sebulan serta tidak diberi kemudahan menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH.

Dia juga menyatakan beberapa kali cuba untuk melarikan diri dari perkampungan itu, namun ditangkap oleh penghuni lain, katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Ummu Attiyah mendakwa dipaksa menjadi isteri keempat salah seorang ahli lembaga pengarah GISBH beberapa tahun selepas bapanya meninggal dunia pada 2010.

Katanya, dia dipaksa berkahwin dengan lelaki itu pada 2015.

Razarudin ketika mengulas lanjut, berkata pengadu cuba melarikan diri kerana tidak tahan perbuatan pengikut GISBH yang mengurung dan memisahkan anaknya.

Katanya, mangsa pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Taiping sekitar 2018 dan kini sedang mengambil ubat di Hospital Melaka.

Laporan dan keterangan perubatannya sedang dalam proses diperolehi. Mangsa juga akan hadir dan menunjukkan semula lokasi rumah dia dikurung esok bagi membantu siasatan, katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*