Kubu tinggalan perang dunia kedua ditemui selepas 80 tahun tenggalam di Sungai Kelantan

Sebuah kubu dipercayai berusia lebih 80 tahun dan dibina ketika Perang Dunia Kedua ditemukan di tebing Sungai Kelantan di sini, selepas sebatang pokok besar tumbang susulan runtuhan tanah berhampiran sebuah kondominium di Jalan Post Office Lama, Isnin lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor yang mengesahkan perkara itu berkata kerajaan negeri bercadang menjadikan kubu itu sebagai tarikan pelancongan.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata kerajaan negeri tidak mempunyai maklumat mengenai kubu bersejarah itu sebelum ini sehinggalah tebing sungai di lokasi berkenaan runtuh baru-baru ini yang telah membawa kepada penemuan tersebut.

“Jika dilihat, struktur kubu ini masih tidak terjejas walaupun terkesan dengan banjir-banjir sebelum ini, cuma ada sampah yang masuk ke dalamnya apabila banjir besar,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan kerjasama Perbadanan Muzium Kelantan bagi menjalankan tinjauan lanjut selain meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memasukkan kubu itu dalam perancangan mengindahkan landskap tebing Sungai Kelantan.

“Saya agak kesal kerana tiada penceritaan tentang kubu ini walhal ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan kita akan usahakan supaya muzium negeri mahupun Jabatan Muzium Malaysia mengambil minat terhadap penjagaan kubu ini untuk dijadikan produk pelancongan,” katanya.

Penduduk, Hasbullah Deraman, 39, tidak menyangka terdapat kubu perang di kawasan berkenaan kerana lokasi itu merupakan tempat rekreasi orang awam.

“Saya agak terkejut apabila dimaklumkan terdapat sebuah kubu telah dijumpai selepas runtuhan tebing Sungai Kelantan. Kebiasaannya saya berjoging pada waktu petang, tidak pernah terlintas ada kubu perang di kawasan ini,” katanya.

Peniaga Ahmad Abu Hassan, 44, berkata dia juga tidak mengetahui adanya kubu di kawasan itu yang dilitupi pokok besar dan semak-samun.

“Tinggalan perang ini tersembunyi di sebalik pokok besar sehinggalan pokok itu tumbang akibat runtuhan tebing,” katanya.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*