KPM mansuh pertandingan tidak beri faedah kepada murid

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju untuk memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid.

Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek berkata, pemansuhan itu dibuat berikutan ia dilihat hanya menambahkan beban tugas guru seperti pelaksanaan pertandingan keceriaan pusat sumber dan tandas tercantik.

“Selain itu, kita juga akan mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.

“KPM juga menetapkanwaktu mengunci masuk rekod kehadiran murid lebih fleksibel kepada guru iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Fadlina berkata, pelantikan pengawas peperiksaan awam dikendalikan Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) juga akan terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat.

“Ia melibatkan individu seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT), tetapi mereka perlu memenuhi kriteria ditetapkan.

“Kita juga menghadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja selain menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM,” jelasnya.

Pada masa sama, KPM juga akan memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.

“KPM akan terus mendukung dan memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama dalam hasrat melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

“Justeru, dalam teras kelima yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh para guru, KPM bersetuju untuk melaksanakan langkah segera’hasil daripada laporan awal diterima seperti dinyatakan,” ujarnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*