KPDN ‘terjah’ pasar mini jual minyak masak lebih harga kawalan

KPDN ‘terjah’ pasar mini jual minyak masak lebih harga kawalan.  Sebuah pasar mini di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kira-kira pukul 2.30 petang semalam setelah disyaki menjual minyak masak botol melebihi harga ditetapkan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan itu adalah berasaskan aduan awam yang diterima pihaknya dan pemeriksaan ke atas premis tersebut dilakukan oleh anggota dan penguat kuasa KPDN Cawangan Teluk Intan.

Katanya, pemeriksaan mendapati minyak masak jenama Saji jenis botol 1 kilogram (kg) dijual dengan harga RM7.40 manakala botol 5kg (RM31), minyak masak jenama Seri Murni 5kg (RM31), minyak masak jenama Kuali 5kg (RM31.70) serta minyak masak jenama Buruh 1kg (RM7.50).

“Harga yang ditawarkan ini adalah melebihi harga maksimum runcit minyak masak tulen kemasan botol yang ditentukan oleh Pengawal di bawah Perintah Kawalan Harga dan AntiPencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2023 iaitu RM6.90 bagi jenis botol 1kg dan RM30.90 bagi jenis botol 5kg.

“Hasil semakan mendapati sebanyak 126 unit minyak masak botol 5kg dan 37 unit minyak masak botol 1kg disyaki telah dijual oleh pemilik perniagaan melebihi harga ditetapkan kerajaan,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata, sebanyak 667kg minyak masak jenis botol telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4148.70.

Beliau berkata, siasatan lanjut kes tersebut akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Justeru, beliau memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*